♥ Buku-buku Panduan Pengurusan Kewangan ♥
(1) CELIK WANG
Matlamat Celik Wang adalah untuk mengajar cara mengurus wang dengan bijaksana supaya anda boleh berbelanja mengikut kemampuan dan seterusnya mencapai matlamat kewangan anda dengan mudah. Buku ini juga menekankan agar anda sentiasa dapat mengawal prestasi kewangan anda.
Di samping itu, Celik Wang memperlihatkan betapa pentingnya anda perlu sentiasa bersedia dari segi kewangan untuk menghadapi sebarang cabaran hidup, kerana wang yang anda belanjakan hari ini boleh menjejas gaya kehidupan anda pada hari esok. Celik Wang, sebuah buku panduan untuk menguruskan wang anda secara bijak sebenarnya suatu panduan akal budi hal ehwal mengenai wang.
(2) RANCANG WANG DARI SEKARANG
Setiap orang pasti melalui peringkat ‘baru mula hidup’. Siapakah sebenarnya orang yang dikatakan ‘baru mula hidup’ itu? Mereka ialah orang yang baru memasuki alam pekerjaan dan merancang untuk menggunakan gaji pertamanya.Rancang Wang dari Sekarang, membawa kita mengenali beberapa skop asas dalam pengurusan kewangan yang lebih Islami.
Selain itu, Rancang Wang dari Sekarang juga membimbing kita mengenal pasti dan lebih berwaspada semasa meneliti tawaran yang tidak realistik di sekeliling kita. Rancang wang anda dari sekarang, sebelum akaun bank kering kontang.
(3) BIJAK URUS WANG KUNCI BEBAS HUTANG
Dalam terbitan istimewa majalah Mingguan Wanita ini anda akan diperkenalkan kepada asas-asas perancangan kewangan termasuk menetapkan matlamat kewangan, memahami konsep dan alat-alat pelaburan, menyusun strategi serta memantau perkembangan rancangan anda. Seterusnya dengan bekalan maklumat asas ini anda mampu mengorak langkah sendiri atau lebih baik lagi gunakan bantuan penasihat profesional.